Buah Rindu 1
Dikau sambur limbur pada senjaDikau alkamar purnama raya
Asalkan kanda bergurau senda
Dengan adinda tajuk mahkota.
Di tuan rama-rama melayang
Di dinda dendang sayang
Asalkan kanda selang-menyelang
Melihat adinda kekasih abang.
Ibu, seruku ini laksana pemburu
Memikat perkutut di pohon ru
Sepantun swara laguan rindu
Menangisi kelana berhati mutu.
Kelana jauh duduk merantau
Di balik gunung dewala hijau
Di seberang laut cermin silau
Tanah Jawa mahkota pulau ….
Buah kenanganku entah ke mana
Lalu mengembara ke sini sana
Haram berkata sepatah jua
Ia lalu meninggalkan beta.
Ibu, lihatlah anakmu muda belia
Setiap waktu sepanjang masa
Duduk termenung berhati duka
Laksana Asmara kehilangan seroja.
Bonda waktu tuan melahirkan beta
Pada subuh kembang cempaka
Adakah ibu menaruh sangka
Bahwa begini peminta anakda?
Wah kalau begini naga-naganya
Kayu basah dimakan api
Aduh kalau begini laku rupanya
Tentulah badan lekaslah fani.
Buah Rindu 2
Datanglah engkau wahai mautLepaskan aku dari nestapa
Engkau lagi tempatku berpaut
Di waktu ini gelap gulita.
Kicau murai tiada merdu
Pada beta bujang Melayu
Himbau pungguk tiada merindu
Dalam telingaku seperti dahulu.
Tuan ayuhai mega berarak
Yang meliputi dewangga raya
Berhentilah tuan di atas teratak
Anak Langkat musyafir lata.
Sesaat, sekejap mata beta berpesan
Padamu tuan aduhai awan
Arah manatah tuan berjalan
Di negeri manatah tuan bertahan?
Sampaikan rinduku pada adinda
Bisikkan rayuanku pada juita
Liputi lututnya muda kencana
Serupa beta memeluk dia.
Ibu, konon jauh tanah Selindung
Tempat gadis duduk berjuntai
Bonda hajat hati memeluk gunung
Apatah daya tangan tak sampai.
Elang, Rajawali burung angkasa
Turunlah tuan barang sementara
Beta bertanya sepatah kata
Adakah tuan melihat adinda?
Mega telah kusapa
Margasatwa telah kutanya
Maut telah kupuja
Tetapi adinda manatah dia!
Buah Rindu 3
Puspa cempaka kanda kirimkanPada arus lari ke laut
Akan duta kanda jadikan
Pada adinda kasih terpaut.
Teja bunga seroja dalam taman
Kemala hijau di atas mahkota
Orang berikan pada kekanda
Tiada kuambil kerana tuan.
Adakah gemerlapan bagi kemala
Adakah harum lagi seroja
Pada beta tumpuan duka
Sebab tuan lalu mengembara.
Tuan lalu tiada berkata
Haram sepatah sepantun duli
Kanda tinggal penuh wangsangka
Pilu belas di dalam hati.
Hatiku rindu bukan kepalang
Dendam beralik berulang-ulang
Air mata bercucur selang-menyelang
Mengenangkan adik kekasih abang.
Diriku lemah anggotaku layu
Rasakan cinta bertalu-talu
Kalau begini datangnya selalu
Tentunya kekanda berpulang dahulu.
Tinggalah tuan, tinggalah nyawa
Tinggal juita tajuk mahkota
Kanda lalu menghadap dewata
Bertelut di bawah cerpu Maulana.
Randa pohonkan tuan selamat
Ke bawah kaus dewata rahmat
Moga-moga tuan hendaklah mendapat
Kesukaan hidup ganda berlipat.
Buah Rindu 4
Kalau kekanda duduk menyembahDuli dewata mulia raya
Kanda pohonkan untung yang indah
Kepada tuan wahai adinda.
Randa puja dewa asmara
Merestui remaja adik kekanda
Hendaklah ia sepanjang masa
Mengasihi tuan intan kemala
Anak busurnya kanda gantungi
Dengan seroja suntingan hauri
Badannya dewa kanda lengkapi
Dengan busur sedia di jari.
Sudah itu kanda pun puja
Dewata mulia di puncak angkasa
Memohonkan rahman beribu ganda
Ia tumpahkan kepada adinda.
Tinggallah tuan, tinggallah nyawa
Sepanjang hari segenap masa
Pikiran kanda hanyalah kemala
Dilindungi Tuhan Maha Kuasa.
Baik-baik adindaku tinggal
Aduhai kekasih emas tempawan
Kasih kanda demi Allah kekal
Kepada tuan emas rayuan ….
Kalau mega berarak lalu
Bayu berhembus sepoi basah
Ingatlah tuan kanda merayu
Mengenangkan nasib salah tarah.
Kalau hujan turun rintik
Laksana air mata jatuh mengalir
Itulah kanda teringatkan adik
Duduk termenung berhati kuatir.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar